"Kemenangan di Hulu Selangor ini merupakan satu peralihan yang sangat besar ertinya sebab kita bertanding di sebuah negeri yang dikuasai parti (pakatan) pembangkang, kita berjaya menawan semula kawasan ini dalam sebuah negeri yang dikuasai (pakatan) pembangkang,” PM selepas pengumuman kemenangan BN di Hulu Selangor.

Tuesday, April 27, 2010

Krisis MCA jejas pengundi Cina - Soi Lek

KUALA LUMPUR 26 April - Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek hari ini mengakui krisis dalaman parti itu antara penyebab masih ramai pengundi Cina tidak memilih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, semalam.

Menurut beliau, hanya 30 peratus pengundi Cina di Parlimen itu mengundi BN mungkin disebabkan oleh keyakinan mereka terhadap MCA belum pulih sepenuhnya.


Katanya lagi, perbezaan pendapat antara bekas Pengerusi MCA Hulu Selangor, Datuk Ch'ng Toh Eng dan penyandang sekarang, Wong Koon Mun sedikit sebanyak turut menjejaskan sokongan terhadap BN.

''Bahkan pertikaian itu juga menyebabkan ahli-ahli akar umbi MCA dan penduduk di Hulu Selangor turut memboikot parti.

''Ia merupakan satu isyarat, jika mereka (pemimpin MCA Hulu Selangor) tidak mengetepikan perbezaan antara mereka, maka MCA akan menjadi bakul sampah politik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, BN memberikan isyarat awal kebangkitan semua parti itu di Selangor apabila menawan kembali Parlimen Hulu Selangor menerusi calonnya, P. Kamalanathan yang menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendedahkan walaupun menang, kebanyakan pengundi Cina tidak menyokong BN - sama seperti Pilihan Raya Umum 2008.

''Kita perlu melihat di mana silap kita. Saya akan berjumpa dengan parti-parti komponen untuk membincangkan perkara ini.

''Bagaimanapun kita gembira kerana pengundi India kembali menyokong BN. Begitu juga dengan pengundi Melayu,'' katanya.

Menurut Soi Lek, selain masalah dalaman MCA, sokongan kaum Cina yang lebih memihak kepada pakatan pembangkang di kawasan tersebut menunjukkan mereka tidak mempedulikan isu peribadi Zaid.

''Walaupun isu Zaid sebagai kaki botol diperbesarkan pada kempen di situ nampaknya ia tidak menjejaskan sokongan pengundi Cina kepada PKR,'' katanya.

Sehubungan itu, Soi Lek menegaskan, MCA perlu mengusahakan anjakan paradigma yang lebih menyeluruh bagi mendekati masyarakat Cina yang mementingkan isu lebih besar berkaitan negara.

''Selain kami perlu menyelesaikan masalah dalaman MCA Hulu Selangor, parti juga perlu merancang pelan yang lebih menyeluruh bagi mengembalikan keyakinan pengundi Cina.

''Kita perlu menilai diri dan melihat kembali keperluan semasa selepas 50 tahun merdeka,'' katanya. - Utusan

Bookmark and Share

1 comment:

  1. kena buat post mortem. cina tak kasi undi...why?
    to comfortable...???

    ReplyDelete