"Kemenangan di Hulu Selangor ini merupakan satu peralihan yang sangat besar ertinya sebab kita bertanding di sebuah negeri yang dikuasai parti (pakatan) pembangkang, kita berjaya menawan semula kawasan ini dalam sebuah negeri yang dikuasai (pakatan) pembangkang,” PM selepas pengumuman kemenangan BN di Hulu Selangor.

Friday, April 23, 2010

Najib Mahu Hulu Selangor Sertai Arus Transformasi Negara Dengan Memilih Calon BN

HULU SELANGOR, 23 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu penduduk di Hulu Selangor membuat perubahan pada 25 April ini bagi menyertai arus utama perubahan dan transformasi yang melanda negara ketika ini.

Beliau berkata Selangor merupakan sebuah negeri yang penting dan mahu perubahan pertama di Selangor dilakukan pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor Ahad ini dengan memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

"Saya mahu penduduk Hulu Selangor membuat perubahan besar 25 April ini. Saya mahu negara kita maju. Saya mahu masyarakat Melayu, Cina, India dan lain-lain bekerja sebagai 1Malaysia. Kita akan bekerja sebagai 1Malaysia untuk teruskan transformasi Malaysia," katanya dalam ucapan ringkas ketika bertemu dengan penduduk di Hulu Yam Barat di sini.

Najib mengadakan pertemuan dengan penduduk Hulu Yam di restoran Weng Heng yang terletak di persimpangan utama pekan Hulu Yam Lama.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan antara calon Barisan Nasional P. Kamalanathan dan Datuk Zaid Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Zainal Abidin Ahmad daripada PKR pada 25 Mac akibat barah otak.

Perdana Menteri berkata beliau mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu padu, harmoni dan maju.

"Kita tidak mahu negara yang biasa, baik tidak undur pun tidak. KIta mahu menunjukkan bahawa Malaysia sebuah negara yang hebat," katanya.

Beliau berkata negara maju seperti Amerika Syarikat telah mengakui Malaysia merupakan sebuah negara yang stabil dan mempunyai potensi yang besar untuk bangkit dan berjaya.

Sebelum mengakhiri ucapannya di perjumpaan ringkas itu, Najib turut mengumumkan peruntukan RM90,000 untuk pembinaan jalan dan longkang ke tanah perkuburan baru Kwang Tung di Hulu Yam Lama (sekarang dikenali sebagai Hulu Yam Barat). -- BERNAMA

Bookmark and Share

No comments:

Post a Comment