Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek (kanan) dan Timbalannya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berpegang tangan dengan ahli-ahli Jawatankuasa Pusat MCA di sini, hari ini. Turut serta (dari kiri) Datuk Seri Tan Chai Ho, Datuk Donald Lim Siang Chai, Datuk Seri Ng Yen Yen dan Datuk Kong Cho Ha.
Beliau berkata kesimpulan itu dibuat berasaskan penilaian awal pada kalangan akar umbi yang menunjukkan sokongan masyarakat Cina kepada BN menggalakkan.
"Tinjauan awal adalah baik dan amat menggalakkan. Kami dapati ada perubahan dalam fikiran masyarakat Cina. Sebelum ini, pakatan tidak pernah diuji.
"Setelah memerintah dua tahun, mereka kini dapat lihat perbezaan pentadbiran pembangkang dan Barisan Nasional," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat parti di sini.
Beliau berkata MCA akan menyokong siapa sahaja calon yang diputuskan Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak untuk bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen itu, dan akan bersama-sama jentera pilihan raya BN bagi memastikan kerusi tersebut dirampas semula.
Pengundi Cina merangkumi kira-kira 26 peratus daripada 63,593 pengundi berdaftar di kawasan itu.
Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong apabila penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari Parti Keadilan rakyat meninggal dunia pada 25 Mac lepas akibat barah otak.
Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 17 April ini sebagai hari penamaan calon dan 25 April hari pembuangan undi.
Sementara itu Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Kong Cho Ha yang juga pengarah pilihan raya kecil parti berkata, beliau akan sentiasa turun ke akar umbi dan berhubung dengan pemimpin daripada parti komponen lain untuk memastikan jentera pilihan raya bergerak lancar.
"Saya telah pergi ke sana sebanyak tiga kali dan akan ke sana lagi esok. Malah saya sudah mula menyukai tugas saya di sana," katanya ketika ditemui pemberita selepas itu.
Mengulas pelantikannya itu, Kong yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berikrar untuk melaksanakan tugasnya sepenuh hati dan akan bekerjasama erat dengan pemimpin MCA lain untuk membina semula parti.
Sambil berterima kasih kepada presiden atas keyakinan yang diberikan kepadanya, Kong melihat pelantikannya itu sebagai tanggungjawab berat dan bukan kelebihan.
Kong kalah kepada Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan MCA yang diadakan 28 Mac lepas. -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment