"Kemenangan di Hulu Selangor ini merupakan satu peralihan yang sangat besar ertinya sebab kita bertanding di sebuah negeri yang dikuasai parti (pakatan) pembangkang, kita berjaya menawan semula kawasan ini dalam sebuah negeri yang dikuasai (pakatan) pembangkang,” PM selepas pengumuman kemenangan BN di Hulu Selangor.

Friday, April 23, 2010

Khutbah Berbaur Politik: Hassan Ali Hina Sultan

HULU SELANGOR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan tindakan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menyampaikan khutbah berbaur politik di sebuah masjid di Bukit Sentosa hari ini sebagai menderhaka kepada titah Sultan.

Ahmad Zahid berkata, Hasan sepatutnya bijak membuat pertimbangan dan tidak mengambil kesempatan semasa kempen pilihan raya yang sedang berlangsung untuk menyampaikan mesej perjuangan sehingga sanggup mengetepikan perintah Sultan.

"Dr Hassan Ali adalah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama. Beliau sepatutnya mematuhi apa yang dititahkan oleh tuanku Sultan. Bukan menyanggah apa yang dititahkan.

"Sultan adalah ketua agama dan titah baginda harus dipatuhi. Tuanku dah titahkan bahawa masjid jangan digunakan sebagai tempat untuk berpolitik. Ini maknanya dia derhaka pada tuanku Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah)," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan pelancaran Kad Pintar PLKN di Kem PLK NPelangi Hill Resort di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Asas Negeri itu yang didakwa menyampaikan khutbah berunsur politik sehingga terlupa membaca selawat nabi ketika menjadi khatib di masjid itu.

Ahmad Zahid berkata, kejadian terlupa membaca selawat nabi yang juga merupakan rukun khutbah perlu dijadikan iktibar kerana ia mungkin berlaku akibat keangkuhan mereka untuk terus berkuasa.

"Hari ini dalam bacaan khutbah oleh Hassan Ali, rukun khutbah pun tak dibacanya. Selawat pun tak baca. Khutbah itu tidak sah.

"Apa ni...sebabnya kerana Tuhan menguji kerana dia riak dan angkuh. Jadi tuhan alpakan, itulah jadinya," katanya.

Beliau berkata, sudahlah perbuatan itu dikira menderhaka, jemaah masjid itu juga terpaksa menanggung akibat kerana sembahyang mereka dikira tidak sah.

Katanya disebabkan kealpaan tersebut, ramai daripada jemaah terpaksa menggantikannya dengan bersolat Zohor.

Sultan Sharafuddin dalam titah baginda pada Oktober tahun lepas mengingatkan pegawai masjid dan jawatankuasa kariah masjid di negeri Selangor supaya memastikan rumat ibadat itu tidak digunakan sebagai gelanggang politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan ummah.

Hari ini baginda mengulangi titah supaya masjid dan surau di Selangor tidak dijadikan gelanggang untuk berpolitik dan tempat untuk mengadakan demonstrasi negatif.

Mengenai dakwaan pembangkang kedatangan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi berkempen di Hulu Selangor bakal merubah fikiran rakyat, khususnya orang Melayu untuk mengundi mereka, Ahmad Zahid berkata beliau tidak fikir kedatangan Mursyidul Am PAS itu berupaya mengubah keadaan sehingga sebegitu rupa.

"Nik Aziz tu siapa, malaikat ka. Dia datang saja boleh mengubah (fikiran) orang. Saya tak fikir begitu. Dia mana boleh mengubah pemikiran orang, tak adalah. Jangan percaya kata dia. Dia bukan malaikat," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pengundi agar tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang kerana apa yang lebih utama adalah mereka perlu memikirkan pembangunan yang akan diberikan sekiranya mengundi Barisan Nasional (BN).

Menurut kaji selidik terbaru yang dikeluarkan oleh Ilham Centre, kajian mendapati pengundi Melayu berpendapat BN akan memenangi pilihan raya kecil Hulu Selangor, Ahad ini. - mstar online

Bookmark and Share

No comments:

Post a Comment