"Kemenangan di Hulu Selangor ini merupakan satu peralihan yang sangat besar ertinya sebab kita bertanding di sebuah negeri yang dikuasai parti (pakatan) pembangkang, kita berjaya menawan semula kawasan ini dalam sebuah negeri yang dikuasai (pakatan) pembangkang,” PM selepas pengumuman kemenangan BN di Hulu Selangor.

Monday, April 12, 2010

Putarbelit Gagasan 1Malaysia Bahan Kempen Pembangkang

Anwar bersama salah satu penajanya - FNF(Frederich Naumann Foundation). Dari kiri, Dr. Irmgard Schwaetzer, Anwar Ibrahim, Hubertus von Welck dalam persidangan tahunan FNF di Kuala Lumpur. Dr. Irmgard Schwaetzer adalah Ahli Lembaga Pengarah FNF Pusat, Jerman. Hubertus von Welck adalah Pengarah FNF untuk Asia Tenggara. 

BAGAN DATOH, 11 April (Bernama) -- Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak cuba diputar belitkan pembangkang termasuk dakwaan ia sama seperti konsep "One Israel".



Beliau berkata putar belit itu juga digunakan sebagai bahan kempen bagi mengelirukan rakyat terutama pada kempen pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

"Perdana Menteri tidak pernah mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak atau syarikat perunding perhubungan awam antarabangsa mengenai gagasan 1Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kem Kesedaran dan Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Parlimen Bagan Datoh di sini.

Oleh yang demikian beliau berharap para pengundi di kawasan itu tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang cuba mengelirukan mereka, kata beliau yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh.



Beliau berkata gagasan 1Malaysia itu adalah untuk mencari faktor persamaan dalam semua rakyat pelbagai kaum di negara ini agar bukan lagi dikenali sebagai satu bangsa yang majmuk tetapi berbeza pendapat.

Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor itu diadakan pada 25 April ini ekoran kematian penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR pada 25 Mac lepas, akibat barah otak.

Hari penamaan calon ialah pada Sabtu ini.

"Saya berharap pemimpin parti komponen BN memberi penjelasan dan menangkis tohmahan pembangkang dalam kempen pilihan raya nanti bagi mengenepikan kekeliruan yang sengaja diwujudkan mengenai gagasan 1Malaysia seperti yang didakwa pembangkang," kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata firma perunding APCO Worldwide merupakan sebuah syarikat perhubungan awam antarabangsa yang dilantik kerajaan Malaysia untuk mempromosikan negara ini di peringkat dunia dalam program berbentuk pelancongan, produk komoditi serta memberi gambaran sebenar mengenai situasi ekonomi negara. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment