"Kemenangan di Hulu Selangor ini merupakan satu peralihan yang sangat besar ertinya sebab kita bertanding di sebuah negeri yang dikuasai parti (pakatan) pembangkang, kita berjaya menawan semula kawasan ini dalam sebuah negeri yang dikuasai (pakatan) pembangkang,” PM selepas pengumuman kemenangan BN di Hulu Selangor.

Monday, April 26, 2010

Hari Pertama 'YB' Kamalanathan Sudah Turun Padang

HULU SELANGOR, 26 April (Bernama) -- Baru sehari bergelar "Yang Berhormat", P Kamalanathan sudahpun memulakan program turun padang pertamanya Isnin di Felda Sungai Buaya dekat sini, bagi mengetahui masalah yang dihadapi warga peneroka tanah rancangan itu.

Selain menerima ucapan tahniah kerana memenangi kerusi kawasan Parlimen Hulu Selangor dalam pilihan raya kecil itu semalam, Kamalanathan,44, turut meluangkan masa mendengar segala permasalahan yang dikemukakan.

AHLI Parlimen Hulu Selangor yang baru, P. Kamalanathan turun padang untuk bertemu para penduduk kampung, kurang 24 jam selepas diumumkan pemenang pilihan raya kecil Parlimen itu, di Kampung Sungai Buaya, Hulu Selangor, 26 April.

"Program turun padang ini dibuat sebagai tanda rasa syukur dan terima kasih terhadap pengundi di kawasan Felda yang memberikan sokongan tidak berbelah kepada saya dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor," katanya dalam ucapan sulungnya selepas dipilih sebagai wakil rakyat pada majlis penyampaian pembayaran tanah Felda Sungai Buaya kepada bekas-bekas penerokanya di sini.

Katanya beliau akan menjadikan kampung dan Bandar Baru Sungai Buaya sebagai kawasan angkat beliau sebagai tanda syukur dan terima kasih atas sokongan diberikan penduduk di situ terhadap BN dalam pilihan raya kecil berkenaan.

BN merampas kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor apabila calonnya, Kamalanathan yang memperoleh 24,997 undi menewaskan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim daripada PKR yang memperoleh 23,272 undi dengan majoriti 1,725 undi pada pilihan raya kecil itu.

Sejumlah 731 undi rosak pada pilihan raya kecil yang menyaksikan sejumlah 48,935 pengundi atau 75.87 peratus pemilih keluar mengundi pada Ahad. Kawasan Parlimen Hulu Selangor mempunyai 64,500 pengundi.

Selain Felda Sungai Buaya, pengundi di Felda Sungai Tengi, Soeharto, Gedangsa dan Sungai Tengi Selatan di kawasan Parlimen Hulu Selangor turut menyatakan sokongan dalam bentuk undi terhadap BN dalam pilihan raya kecil itu.

Kamalanathan juga berkata majoriti 1,725 yang diraihnya dalam pilihan raya kecil adalah satu nombor unik baginya serta mudah diingati kerana angka "17" melambangkan hari pencalonan manakala "25" pula melambangkan hari pengundian.

Beliau juga berkata beliau akan menunaikan segala janji yang dibuat pada kempen pilihan raya kecil itu dan berhasrat bekerjasama dengan kerajaan negeri Selangor dalam memajukan pelan pembangunan yang dirancang untuk penduduk Hulu Selangor. -- BERNAMA

Bookmark and Share

No comments:

Post a Comment