"Kemenangan di Hulu Selangor ini merupakan satu peralihan yang sangat besar ertinya sebab kita bertanding di sebuah negeri yang dikuasai parti (pakatan) pembangkang, kita berjaya menawan semula kawasan ini dalam sebuah negeri yang dikuasai (pakatan) pembangkang,” PM selepas pengumuman kemenangan BN di Hulu Selangor.

Friday, April 23, 2010

Ramalan Kata 50-50 Tapi Kit Siang Akui Sukar Bagi PKR Di Hulu Selangor


Oleh Alan Ting dan S. Retnanathan

HULU SELANGOR, 23 April (Bernama) -- Menjelang pengundian Ahad ini dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor, tokoh DAP Lim Kit Siang mengakui calon Parti Keadilan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim menghadapi laluan yang sukar berbanding lawannya P.Kamalanathan daripada Barisan Nasional.

Walaupun terdapat ramalan peluang kedua-dua calon itu adalah 50-50, Lim berkata Zaid sedang mengekori Kamalanathan disebabkan sokongan pengundi Melayu dan kaum India kepada calon BN itu.

"BN ada kelebihan hasil daripada kempen intensifnya tetapi saya yakin kita dapat mengubah keadaan jika kita menggadakan lagi usaha di saat-saat akhir ini," katanya.

Pemerhati berkata satu daripada faktor yang membantu BN ialah kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dua hari lepas untuk menyuntik semangat jentera BN selain menangkis semua dakwaan pembangkang terhadap beliau dan kerajaan.

Hari ini, beliau sekali lagi berada di Hulu Selangor, kali ini mengunjungi kawasan Felda di Sungai Buaya dan sebuah kampung baru Cina di Hulu Yam.

Di Sungai Buaya, Najib menyerahkan RM50,000 kepada setiap daripada 100 bekas peneroka skim Felda di situ sebagai pendahuluan kepada pampasan bagi tanah yang diambil daripada mereka.

Perdana Menteri juga telah menyelesaikan beberapa isu melibatkan penduduk Hulu Selangor seperti hak milik tanah selain meluluskan beberapa projek infrastruktur.

Minggu lepas, Kementerian Kerja Raya mengumumkan pembinaan persimpangan bertingkat yang akan memberi manfaat kepada 100,000 pengguna di kawasan Sungai Buaya, Sungai Choh, Serendah dan utara Rawang. Projek itu dijangka bermula awal tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berada di Hulu Selangor sejak hari penamaan calon Sabtu lepas.

Kempen BN diperkuatkan lagi dengan kehadiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Serendah pada Khamis.

"Dengan kehadiran Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan bekas Perdana Menteri, BN nampak bersungguh-sungguh berusaha untuk menang. Inilah yang membuatkan kami terpaksa berikhtiar untuk mengurangkan jurang. Jika tidak, keadaan akan menjadi amat sukar bagi kami," kata Lim.

Satu lagi faktor yang meletakkan PKR dalam keadaan bertahan ialah pendedahan menerusi blog mengenai tabiat Zaid meminum arak dan mengenai kuda lumba yang dimilikinya.

PAS pula mempertahankan Zaid dengan berkata bahawa itu adalah isu lama dan Zaid kini sudah berubah.


Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berada di sini sejak seminggu lepas.

Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu pula mengambil sikap berhati-hati dalam memberi penilaian terhadap peluang Kamalanathan dengan berkata bahawa walaupun harapan untuk menang adalah cerah tetapi BN tidak boleh terlalu yakin.

"Minggu lepas, apabila saya hadiri perhimpunan, orang ramai duduk jauh-jauh. Tapi pada Isnin lepas, mereka duduk semakin dekat dan sekarang mereka berada di sisi kita. Ini petanda baik," katanya kepada Bernama.

MIC menjangkakan pengundi kaum India akan kembali menyokong BN kali ini setelah mereka menyebelahi pembangkang pada pilihan raya umum yang lepas pada 2008.

"Sebelum ini, sokongan mereka ialah 70 peratus kepada pembangkang dan 30 peratus kepada BN tetapi sekarang keadaan sudah terbalik. Namun, kita tidak boleh terima gambaran ini pada permukaan saja dan kita harus berusaha keras sehingga hari pengundian," kata Samy Vellu.

Kewujudan parti Makkal Sakthi yang ditubuhkan oleh mereka yang menyokong pembangkang pada 2008 tetapi kini mengalih kepada BN, juga menarik ramai pengundi kaum India kepada parti pemerintah.

Pemerhati berkata walaupun persaingan dilihat sengit, calon yang menang nanti mungkin meraih majoriti sekitar 2,000 undi. -- BERNAMA

Bookmark and Share

1 comment: