HULU  SELANGOR 13 April – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Parti  Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim yang pernah memperlekehkan  konsep ketuanan Melayu diumumkan sebagai calon untuk menggalas cabaran  parti itu pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, 25 April ini.  Pencalonan Zaid yang dipecat daripada UMNO pada Disember 2008 diumumkan  oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis ceramah  di Pusat Komuniti Serendah di sini malam ini. Pengumuman itu sekali gus  menutup peluang Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan PKR Selangor, Syed  Shahir Syed Mohamud, Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Md. Akin dan  Bendahari PKR Cabang Hulu Selangor, Dr. Halili Rahmat yang turut  disebut-sebut mempunyai potensi sebagai calon.
Anwar  sewaktu berucap berkata, Zaid dipilih kerana PKR mahu meletakkan calon  yang sudah teruji dalam politik. Katanya, Zaid mempunyai keistimewaannya  yang tersendiri kerana sanggup meletakkan jawatan sebagai menteri demi  mempertahankan hak rakyat.
“Lepas jadi ahli parti, dia menjelajah ke  seluruh negara dan dia ada beritahu saya jika dipilih sebagai calon, dia  akan bekerja dan jika tidak dipilih, dia pun akan bekerja seperti  biasa.
“Dia pun bukannya orang luar kerana telah  bermastautin selama 30 tahun di Selangor,” katanya. Sementara itu, Zaid  dalam reaksi segera dalam majlis itu berkata, beliau mengucapkan terima  kasih kepada pucuk pimpinan parti kerana memberi kepercayaan kepadanya  walau pun baru menjadi ahli PKR. Beliau melahirkan keyakinan kerana  mampu menjadi suara rakyat Hulu Selangor dan Selangor.
“Saya  terima dengan penuh keinsafan bahawa beban yang dipikul Anwar dan  rakan-rakan amat berat.
Zaid dikenali ramai sebagai pemimpin  kontroversi kerana pernah mempersoalkan status orang Melayu sewaktu  berucap dalam Persidangan LawAsia 2008 apabila menyifatkan konsep  ketuanan Melayu menyebabkan berlakunya pembaziran sumber, tenaga dan  masa yang penting dalam menangani isu sebenar di negara ini. Berikutan  itu, Zaid dihujani kritikan termasuklah kenyataan keras bekas Menteri  Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendesaknya keluar  daripada rumpun bangsa Melayu.
Sementara itu,  sumber dalaman Pas memberitahu Utusan Malaysia bahawa pemilihan Zaid  menimbulkan dilema kepada jentera pilihan raya Pas kerana beliau pernah  menyaman kerajaan negeri Kelantan yang meluluskan Enakmen Kanun Jenayah  Syariah (II) 1993 beberapa tahun lalu dengan alasan ia bercanggah dengan  Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Zaid menarik balik saman  tersebut selepas itu. Sumber itu berkata, Pas juga tidak dibawa  berunding oleh PKR dalam soal pemilihan calon, sebaliknya membuat  keputusan secara bersendirian.
“Sebenarnya kami berdepan dilema,  lebih-lebih lagi Zaid adalah orang yang menyaman kerajaan Pas Kelantan  dalam isu hudud, tapi apa boleh buat, PKR tidak berunding dengan  sekutunya dalam pakatan pembangkang,” katanya. Tindakan Zaid pada masa itu dikecam oleh kepimpinan  kerajaan Pas Kelantan termasuklah Exco kanan, Datuk Husam Musa yang  menyifatkan sebelum ini tidak pernah ada orang Islam yang sanggup  mencabar hukum Allah di mahkamah.
Ulasan Saya
10 Sebab Ahli PKR  dan PAS Wajib Boikot Zaid di Hulu Selangor
1. Zaid memperlekehkan konsep Ketuanan  Melayu dan DEB sebagai konsep atau dasar perkauman yang sudah ketiggalan  zaman. Lantaran itu, apakah maknanya jika pengundi di Hulu Selangor,  mengundi beliau sebagai calon MP atas tiket mewakili kaum Melayu,  andaikata beliau sendiri bersikap anti-ketuanan Melayu? Bukankah itu  bermakna para pengundi Melayu di Hulu Selangor ditipu hidup-hidup oleh  PKR?
2. Zaid terbukti seorang yang tidak  mempunyai prinsip perjuangan yang tulen. Beliau sanggup melompat parti  dan masuk PKR atas prinsip yang tidak jelas. Seperti yang kita sedia  maklum, PKR merupakan sebuah parti yang tidak mempunyai prinsip  perjuangan yang konkrit. PKR seperti lalang - sehingga sekarang kita  masih tidak tahu pendirian PKR berhubung banyak isu, umpamanya isu kalimah Allah,  isu 16 September, isu Anwar Ibrahim terlibat dalam organisasi pelobi  Yahudi antarabangsa, isu Hukum Hudud dengan PAS, Hak Keistimewaan Orang  Melayu, isu dasar DEB, isu dasar Bahasa Melayu, isu Malaysia Malaysian dan  banyak lagi - semua ini menjelaskan PKR merupakan sebuah parti tiada  pendirian dan hanya pandai meneguk di air keruh. Mana-mana isu yang  menguntungkan, maka segeralah mereka bertempik dan melolong ke sana ke  mari, seolah-olah merekalah juara rakyat, juara kaum India, juara kaum  Cina, juara kaum Melayu, juara penganut agama Buddha, juara penganut  Kristian dan pelbagai juara lagi. Hakikatnya mereka tiada prinsip dan  pendirian! jika ini wajah hodoh PKR, maka ia samalah juga dengan Zaid -  manusia yang tiada pendirian. Melompat ke sana dan ke mari - lebih baik  jadi seperti Zulkifli atau Zaharin - apabila tidak bersetuju, terus jadi  calon bebas! Soalnya, apakah orang yang tiada prinsip seperti Zaid ini  hendak kita pilih sebagai wakil rakyat di Hulu Selangor? Hanya orang yag  tiada mata hati sahaja yang akan memilihnya.
3. Apakah PAS sudah lupa siapakah individu yang  bertanggungjawab mengheret Hukum Allah ke Mahkamah? Walaupun ketika itu  Zaid merupakan ahli UMNO, Nah! sekarang apakah dosa beliau itu telah  gugur? Semata-mata kerana beliau sudah menjadi ahli PKR yang  bersekongkol dengan PAS? Apakah segala caci-maki dan umpat-keji yang  dilemparkan oleh PAS terhadap Zaid pada suatu ketika dahulu boleh dilupa  begitu sahaja? Di mana prinsip PAS dalam hal ini? Dan pernahkah PAS  bertanyakan kepada Zaid apakah prinsip beliau berhubung pelaksanaan  hukum Hudud di Malaysia? Masihkah beliau berani menolaknya? Lantaran  itu, PAS tidak wajar menyokong Zaid!
4. Zaid bukan orang Hulu Selangor! Beliau tidak kenal pun  Pak Ngah, Ayah Ngah dan penduduk-penduduk di Kampung Menyuruk di Hulu  Selangor pun. Hakikatnya beliau tidak akan tahu masalah orang Hulu  Selangor. Secara logiknya, tak kanlah orang Hulu Selangor masih mahu  memilih calon yang bukan dalam kalangan pemimpin-pemimpin PKR di kawasan  tersebut. Zaid orang luar. Dan beliau tidak layak mewakili penduduk  Hulu Selangor! Mana perginya Dr Halili dan Ketua Pemuda PKR? Mereka jauh  lebih layak daripada Zaid. Lagi pun Zaid terlalu muda perjuangannya  dalam PKR. Belum diuji dan teruji kesetiaannya. Boleh jadi Zaid bisa  sahaja melombat menjadi MP bebas!
5.  Penduduk Hulu Selangor tidak memerlukan seorang yang popular dan dibelit  dengan pelbagai kontroversi. Zaid merupakan individu yang kaya dengan  kontroversi - malah, beliau merupakan kroni rapat Anwar dalam PKR.  Kaedah pemilihan wakil rakyat ala-Anwar Ibrahim adalah berpaksikan  kepada populariti seseorang individu tertentu - sedangkan pada  hakikatnya rakyat menginginkan wakil rakyat yang boleh bekerja dan rapat  dengan mereka di peringkat akar umbi.
6. Pemilihan Zaid dilakukan oleh Anwar Ibrahim secara  solo, tanpa berunding dengan PAS dan DAP, maka, jelaslah semangat  setiakawan sememangnya tiada dalam Pakatan Rakyat - ia hanya slogan yang  cuba mengaburi mata rakyat! Oleh itu, Zaid harus ditolak.
7. Tujuan utama pemilihan Zaid adalah untuk  menarik undi kaum Melayu, tetapi malangnya, jiwa Melayu yang dimiliki  Zaid sangat tipis - jika konsep Ketuanan Melayu sanggup dikatakan  sebagai pembaziran sumber, tenaga dan masa, maka apalah yang diharapkan  lagi oleh kaum Melayu di Hulu Selangor daripada Zaid? Apakah beliau akan  membela dan mempertahankan kepentingan orang Melayu di Hulu Selangor?  Saya fikir tidak.
8. Zaid merupakan ahli UMNO yang terbuang.  Tak kan penduduk Hulu Selangor masih mahu memilih "orang yang terbuang"  sebagai wakil rakyat mereka.
9.  Zaid tidak berapa rapat dengan akar umbi PKR di Hulu Selangor. Lantaran  itu, beliau tidak memperoleh sokongan kuat daripada ahli PKR akar umbi.
10. Sehingga kini, PAS masih belum dapat  memastikan pendirian Zaid berhubung Hukum Hudud. Apakah beliau bersetuju  dilaksanakan di negara ini atau pun tidak. Oleh itu, PAS menyokong  sesuatu yang tidak pasti. Ahli-ahli PAS perlu menolak Zaid di Hulu  Selangor! Selain itu, majoriti ahli-ahli PKR di Hulu Selangor telah  menolak Zaid! Mereka tidak menerima Zaid sebagai calon MP di sana. Jadi,  Zaid mesti ditolak.

 
No comments:
Post a Comment