Mismah Naim yang menimbulkan kontroversi apabila didakwa memperoleh  kerakyatan Malaysia dalam tempoh empat jam selepas mendapat status  penduduk tetap hari ini menyuarakan rasa kesal kerana pihak pembangkang  tidak berusaha mencari kebenaran sebelum membuat tuduhan.
Ibu empat anak berusia 47 tahun itu berkata, dia berasa sedih dengan  tindakan pembangkang tersebut dan pada masa sama terkilan kerana hanya  namanya yang dibangkitkan oleh pembangkang walhal ramai lagi yang  dikaitkan dengan isu berkenaan.
Menurut Mismah, dia lebih selesa mengambil pendekatan untuk tidak  melayan atau mempedulikan tuduhan berkenaan setelah dimaklumkan mengenai  kontroversi tersebut kerana mendakwa, dia sangat faham dengan sikap  pembangkang di negara ini.
"Saya dan suami, Mawasi Mawardi, 51, telah dua kali berurusan dengan  Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sejak 29 tahun tinggal di sini namun  hanya saya diberikan status warganegara.
"Malah, kami langsung tidak mendapat bantuan mana-mana pihak termasuk  UMNO dan kami telah melalui proses yang agak sukar sama seperti yang  dilalui oleh penduduk tetap lain yang mahu memohon status warganegara,"  katanya.
Mismah berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan  Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar  di kediamannya di Desa Coafields, dekat sini hari ini.
Sementara itu, anak sulung Mismah, Shuhaifah Mawasi, 28, berkata, dia  kecewa kerana usaha ibunya selama 29 tahun untuk menjadi warganegara  Malaysia dijadikan isu politik oleh pembangkang.
Katanya, dia turut mengambil pendekatan tidak mahu ambil kisah  apabila isu mengenai ibunya itu dijadikan modal politik pembangkang  kerana tahu ibu dan bapanya tidak pernah menggunakan cara mudah termasuk  mendapatkan bantuan UMNO bagi mendapatkan status berkenaan.

 
No comments:
Post a Comment