JIKA tindak-tanduk terbaru Datuk Seri Anwar Ibrahim di Jakarta dan  Manila diambil kira, maka seharusnya tidak ada lagi keraguan kenapa  beliau perlu digantikan oleh orang lain sebagai ketua pembangkang.
|  | 
| Pengkhianat dan mereka yang hasad dengki dan cemburu sahaja yang sanggup memburukkan negara sendiri ke negara luar. | 
 Ternyata sekali dendam kesumat yang terbeku dalam hatinya telah  memungkinkan Anwar tergamak ‘menghina’ tanah air sendiri semata-mata  untuk meraih simpati rakyat asing.
 Apa yang anehnya, Anwar dalam satu wawancara dengan media di  Indonesia mendakwa bahawa beliau mendalami al-Quran dan hadis ketika  menjadi penghuni di Penjara Sungai Buloh.
 Persoalannya, kalau benar Anwar memahami apa yang terkandung dalam  al-Quran dan hadis sudah tentulah Anwar tidak bertindak bagaikan ‘hantu  raya tidak bertuan’.
 Apakah tindakan Anwar bersesuaian dengan apa yang diserukan oleh  Islam melalui al-Quran yang mahukan umatnya patuh kepada ulul amri.
 Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam Surah An Nisaa’ ayat 59 yang bermaksud:
 “Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan  taatlah kamu kepada Rasul dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang  berkuasa) dari kalangan kamu”.
 Kalau Anwar mendakwa kononnya beliau mempunyai begitu banyak masa  mendalami al-Quran, apakah beliau tidak memahami maksud ayat ini?
 Malahan Anwar juga melakukan fitnah kepada kerajaan Malaysia yang  diperintah oleh orang Islam apabila mendakwa berlaku keganasan dalam  demonstrasi 9 Julai lepas.
 Ia termasuk memfitnah polis kononnya bertanggungjawab ke atas  kematian seorang penunjuk perasaan dan menahan lebih 1,600 penunjuk  perasaan.
 Biar pun pihak berkuasa sudah menjelaskan kedudukan sebenar tetapi  Anwar tidak menerimanya dan Anwar langsung tidak menjelaskan kepada  mereka yang mendengar ceramahnya bahawa demonstrasi yang dianjurkan pada  9 Julai lalu adalah satu perhimpunan haram.
 Tidakkah perbuatan mereka yang turut ke jalanan pada tarikh  berkenaan bersama-sama dengan Anwar ingkar kepada arahan ulul amri  sedangkan Rasulullah SAW bersabda:
 “Mendengar dan taat (kepada ketua) adalah menjadi kewajipan ke atas  orang-orang Islam dalam apa jua perkara pun sama ada yang disukainya dan  yang tidak disukainya selagi ia tidak diperintahkan untuk membuat  sesuatu maksiat, maka jika ia diperintahkan untuk membuat sesuatu  maksiat maka tidaklah boleh mendengar dan taat”. (Riwayat Al-Imam  Al-Bukhari).
 Kalau Anwar benar mendalami hadis ketika di penjara, takkanlah Anwar terlepas membaca hadis ini?
 Sebagai seorang yang sentiasa menggambarkan dirinya seorang yang  bersih dan seorang pejuang demokrasi sebenar, kenapa Anwar tidak mahu  mengambil jalan perundingan terhadap sesuatu masalah yang berlaku dengan  kerajaan.
 Kenapakah Anwar mengambil pendekatan konfrantasi dan demonstrasi serta menghasut rakyat untuk menentang pemerintah yang sah?
 Bukankah Anwar begitu bijak berhujah dengan menggunakan ayat-ayat  suci al-Quran dan kalau benar beliau mendalami al-Quran sudah pasti  jalan perundingan yang dipilih seperti seruan Allah dalam surah Surah  Ali Imran ayat 159 yang bermaksud:
 “Dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan  soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam sesudah  bermesyuarat untuk membuat sesuatu, maka bertawakallah kepada Allah  kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal  kepada-Nya”.
 Begitu juga apabila Rasulullah SAW memberi peringatan yang dalam  sebuah hadis yang bermaksud: ‘‘Barang siapa yang benci terhadap sesuatu  dari tindakan penguasanya maka hendaklah ia bertaubat kerana  sesungguhnya orang yang meninggalkan raja (penguasanya) walaupun hanya  sejengkal maka matinya seperti mati pada zaman jahiliah”. (Diriwayatkan  oleh Al-Imam Al-Bukhari dan Muslim).
 Oleh itu hakikatnya, hujah Anwar kononnya beliau mendalami al-Quran  dan hadis ketika dalam penjara hanyalah hujah semata-mata. Hujah yang  diketengahkan itu sekadar untuk memaparkan kepada umat Islam seolah-olah  beliau paling suci dan sentiasa menjadi mangsa aniaya kerajaan Barisan  Nasional (BN).
 Sepatutnya seperti mana dakwanya di Manila bahawa tuduhan liwat ke  atasnya adalah satu konspirasi dan fitnah, kenapakah Anwar tidak  menggunakan seluas-luasnya ruang di mahkamah untuk membuktikan beliau  tidak bersalah?
 Kenapakah dari semasa ke semasa, satu demi satu hujah dikeluarkan  oleh para peguamnya bagi menangguh perbicaraan sehingga kini sudah  berlanjutan selama tiga tahun?
 Tidakkah Anwar fahami melalui hadis-hadis yang didakwa didalaminya  bahawa doa orang teraniaya tiada hijab dengan Allah seperti sabda  Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Hindarilah doa orang yang dizalimi, kerana sesungguhnya tidak ada antara doanya itu dengan Allah SWT hijab yang mendindingi”. 
 Seperkara lagi Anwar juga mendakwa demokrasi di Malaysia semakin  terhakis tetapi Anwar tidak pula menggambarkan kalau benar dakwaannya  mana mungkin pada tahun 2008, pembangkang boleh menang agak cemerlang  dalam pilihan raya umum.
 Anwar mengatakan di Malaysia demokrasi makin terhakis tetapi beliau  sendiri menang dalam pilihan raya dan lebih unik lagi beliau mungkin  satu-satunya orang kena tuduh (OKT) dalam satu kes yang serius tidak  ditahan pasportnya.
 Tindakan tersebut membolehkan Anwar mengeliling dunia biar pun  kesnya masih dibicara di mahkamah dan kesempatan itu sebahagian besarnya  digunakan oleh Anwar untuk memburuk-burukkan tanah air sendiri.
 Oleh itu rakyat tidak harus terpedaya dengan tindakan Anwar yang  dari semasa ke semasa semakin merapu dalam usahanya meraih sokongan bagi  mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri.
 Mungkin selain masalah moral, sikap Anwar yang suka  memburuk-burukkan negara di luar negara juga menjadi pertimbangan bagi  sesetengah kelompok di dalam pembangkang yang merasakan Anwar tidak lagi  layak memimpin pakatan mereka.
 Tindakan Anwar itu berbeza dengan ramai pemimpin pembangkang lain  yang jarang sekali kita dengar mereka sanggup melakukan apa yang Anwar  buat di luar negara.
 Justeru adalah wajar jika tindakan Anwar kali ini diperangi  habis-habisan kerana ini bukanlah kali pertama Anwar bertindak bagaikan  duri dalam daging dan gunting dalam lipatan bagi Malaysia.
 Kepada rakyat Malaysia dan umat Islam, nilailah tindakan Anwar itu  dengan fikiran waras dan tenang, apakah perbuatannya memburuk-burukkan  negara sendiri adalah wajar dan apa yang beliau katakan adalah satu  kebenaran.
 Dalam soal ini, ingatlah firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 204 yang bermaksud:
 ‘‘Antara manusia ada yang tutur katanya mengenai kehidupan dunia  menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya) dan dia (bersumpah  dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam  hatinya padahal dia adalah orang yang sangat keras permusuhannya  (kepadamu)’’. 
 Semoga kita tidak terus dibelenggu oleh politik kebencian yang ditiupkan oleh Anwar terutamanya di bulan yang suci ini. - Petikan dari : Zulkifli Bakar (Utusan Malaysia)
 
No comments:
Post a Comment