"Kemenangan di Hulu Selangor ini merupakan satu peralihan yang sangat besar ertinya sebab kita bertanding di sebuah negeri yang dikuasai parti (pakatan) pembangkang, kita berjaya menawan semula kawasan ini dalam sebuah negeri yang dikuasai (pakatan) pembangkang,” PM selepas pengumuman kemenangan BN di Hulu Selangor.

Thursday, September 23, 2010

Syed Husin Sudah Nyanyuk – Zaid

PETALING JAYA:  Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zaid Ibrahim hari ini berkata Timbalan Presiden parti itu Dr Syed Husin Ali, yang tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti itu bulan depan, sudah "nyanyuk" kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak betul.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Syed Husin, yang dilaporkan portal berita Merdeka Review, yang mempertikaikan peranan Zaid sebagai penyelaras Pakatan Rakyat (PR).

"Saya ditugaskan untuk memberi satu idea dan kertas kerja untuk menyatukan PKR, PAS, dan DAP dibawah PR untuk didaftarkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebagai satu gabungan yang sah.

"Sekarang permohonan itu belum disahkan lagi oleh ROS, bermakna peranan saya itu juga belum menjadi satu jawatan yang rasmi.

"Mungkin jika selepas PR diluluskan jawatan penyelaras itu akan diberikan kepada orang lain saya tidak tahu kerana apa, yang penting saya hanya menjalankan tugas yang diberikan.

"Saya tak faham kenapa beliau (Syed Husin) perlu mempertikaikan kerja saya kerana beliau juga sebenarnya tidak pernah terlibat langsung dalam usaha pembentukan PR.

"Saya rasa beliau sudah nyanyuk dan lupa mengenai hal itu," katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Syed Husin dalam wawancara tersebut mempersoalkan jawatan Zaid sebagai penyelaras dan mendakwa Zaid tidak terlibat secara menyeluruh dalam persiapan draf dasar PR.

Pemimpin veteran itu turut mengkritik disiplin Zaid, yang kononya hanya sesekali menghadiri mesyuarat biro politik PKR. Syed Husin juga berkata Zaid bukan seorang "team player".

Ada Alasan Kenapa Tidak Hadir Mesyuarat
 
syed Zaid, walaupun mengakui tidak mampu menghadiri setiap mesyuarat biro politik yang diadakan hampir setiap minggu, berkata beliau mempunyai alasan tersendiri untuk tidak hadir.

"Kadang kala saya ada tugas lain yang lebih penting termasuk hal bersama rakyat.  Jika beliau hendak pertikaikan disiplin saya, tanya dia berapa kali (naib presiden) Azmin (Ali)  tak datang mesyuarat.

"Jika Azmin tak datang tidak apa, tapi jika saya tidak hadir mereka jadikannya sebagai satu isu. Hakikatnya walau apa pun saya masih tetap bersama dengan perjuangan parti…Tidak apalah jika mereka nak kata apa pun. Saya tidak ambil hati, biarkan sahaja," katanya lagi.

Ditanya mengenai harapannya memenangi jawatan timbalan presiden pada pemilihan pucuk pimpinan parti penghujung bulan depan, Zaid berkata beliau tetap optimis dengan pencalonan yang diterima daripada setiap cabang.
Sehingga kini, Azmin, yang juga akan bertanding jawatan tersebut, mendahului pencalonan dengan memperolehi 36 pencalonan, diikuti Zaid (19) dan pengerusi PKR Perak Mustaffa Kamil Ayub (10).

"Kita tunggu lagi sebulan dan lihat bagaimana prestasi pencalonan. Segala keputusan nanti saya akan terima dengan hati terbuka," kata Zaid.

Anwar Puji Syed Husin
 
Sementara itu,  Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim mahu setiap saranan diberi pemimpin veteran Dr Syed Husin Ali diambil perhatian ahli parti.

Menurutnya, dalam kesibukan pimpinan dan penyokong PKR dalam pemilihan kini, beliau mahu mereka mengambil masa sejenak untuk menelaah wawancara terkini Syed Husin dalam Merdeka Review.

"Saranan malah teguran beliau walaupun menyengat harus dihadam (diterima). Hikmah nasihat dan peringatan beliau amat bernilai bagi perjuangan.

"Saya yakin demi kesinambungan dan kemurnian perjuangan suara dhamir dan suara Syed Husin harus terus bergema," kata Anwar, yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Pendirian Syed Husin Tegas
 
Anwar berkata, Syed Husin beliau lihat sebagai tokoh yang menzahirkan sikap tegas dalam menentang kezaliman sepanjang perjuangannya untuk rakyat.

"Tatkala menyingkap pengalaman Syed Husin dalam dua Wajah menzahirkan sikap tegas menentang kezaliman dan kepedulian jitu terhadap perjuangan rakyat.

"Dalam kemelut sekarang, amat sukar sekali tokoh seperti beliau diberikan ruang bukan sahaja dalam media milik Umno; malah juga dalam apa yang dilonggokkan sebagai media alternatif.

"Ini justeru kerana pendirian tegas beliau tidak memenuhi selera atau agenda mereka," katanya lagi.
Pada 14 September lalu, Syed Husin Ali mengumumkan pendiriannya untuk tidak akan mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR.

Syed Husin, 74, yang dilantik sebagai senator tahun lalu telah menjawat jawatan timbalan presiden selama dua penggal. - FoN Online

No comments:

Post a Comment