 Banteras isu rasuah, politik pelampau perjudikan negara
Banteras isu rasuah, politik pelampau perjudikan negara KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Nor menyifatkan pelantikannya sebagai Ahli Dewan Negara, sebagai platform untuk membantu usaha reformasi dan transformasi dilaksanakan Datuk Seri Najib Razak terutama dalam usaha membanteras rasuah dan politik pelampau yang memperjudikan negara.
Mohamad Ezam berkata, apa yang dilaksanakan oleh Najib meyakinkannya  Perdana Menteri serius dan komited melaksanakan reformasi serta  transformasi.  Selain itu, katanya, beliau bertanggungjawab untuk mempertahankan  negara dan asas kenegaraan daripada serangan pengkhianat dan pelampau  yang bermain politik secara melampau.
“Saya bertanggungjawab menyatakan pada anak muda kita memerlukan  reformasi.  Saya tidak pernah khianat atau lari daripada agenda  reformasi tetapi reformasi yang kita harus lakukan ialah reformasi yang  tidak merosakkan negara, bukan reformasi yang sebaliknya seperti yang  dilihat akhir ini, ada kelompok yang sanggup melakukan apa saja dengan  menggadai banyak prinsip, menjual nama Seri Paduka Yang di-Pertuan  Agong, menjual nama negara atas nama reformasi. 
“Sebenarnya ia adalah reformasi palsu sebagai usaha mencapai  cita-cita peribadi dan menjadi tanggungjawab saya untuk menjelaskan  kepada masyarakat... dengan tanggungjawab ini menjadikan saya bekerja  keras untuk berkhidmat atas nama negara,” katanya pada sidang media di  lobi Parlimen, semalam. 
Sebelum itu, Mohamad Ezam bersama tiga lagi termasuk Timbalan  Presiden MIC, G Palanivel mengangkat sumpah di depan Yang Dipertua Dewan  Negara, Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang. Dua lagi, Pengerusi Eksekutif  Rahim & Co Chartered Surveyors Sdn Bhd, Datuk Abdul Rahim Abdul  Rahman dan Ketua Wanita Umno Bahagian Pagoh, Noriah Mahat. 
Ditanya sama ada beliau diberikan tugas khas dalam Dewan Negara,  Mohamad Ezam berkata, sama ada diberikan tugas khas atau tidak, beliau  mempunyai tanggungjawab untuk menerangkan ke seluruh negara mengenai  usaha politik melampau yang kini berada di tahap pengkhianatan kepada  negara. 
Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Generasi Baru Nusantara, Jakarta  turut menafikan jawatan Senator akan memudahkan beliau untuk berada  dalam Kabinet, sebaliknya tidak pernah berhasrat untuk menyertai Jemaah  Menteri kerana beliau bukan individu yang berjuang atas dasar jawatan. 
Mengenai ada pihak yang mempertikaikan pelantikan beliau sebagai  Senator kerana dianggap masih muda, katanya, banyak perkara dalam  politik ditempuhinya sejak memegang jawatan setiausaha politik Timbalan  Perdana Menteri 12 tahun lalu. 
“Saya bukan muda dalam politik, saya tempuhi banyak perkara dalam  politik, saya berada dua tahun dalam penjara, saya masuk Umno bukan dua  bulan lalu tetapi saya sertai Umno genap dua tahun bulan ini, saya tidak  nampak ia tergesa-gesa," katanya. - Berita Harian

 
No comments:
Post a Comment